Apalah sangat jika kejayaan diukur dengan langkah kita dalam membuat sesuatu pekerjaan. Seandainya berjaya, dipuji, diarak dan diraikan dan sekiranya tewas mengorak langkah dengan sempurna, kita dikeji, dikritik dan kreadibiliti kita disoal hanya disebabkan tindakan kita yang satu itu. Saat kita di puncak, dihidangkan segunung tawaran untuk menyunting kepakaran kita. Seandainya tersungkur, manusia lebih gemar memandang pada sesuatu yang lebih enak untuk dilihat seperti kejayaan orang lain. Kekalahan itu biasanya dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan tidak layak untuk diambil pengajaran daripadanya dan lebih mengagungkan pihak yang menang. Orang yang tersungkur itu dibiarkan mengutip kembali cebisan-cebisan hidupnya dan juga maruah dirinya yang masih ada pada dirinya. Setiap perbuatan itu ada dua kemungkinan; keberanian menerima ketewasan kita dan juga segala tomahan sekiranya tidak berjaya berdasarkan ukuran masyarakat ataupun berasa bangga kerana berjaya mencapai matlamat hidup sekaligus merangkul gelaran juara dalam pandangan masyarakat. Seharusnya perasaan rendah diri harus ada dalam diri kerana kita boleh berada di atas dan juga di bawah dalam sekelip mata sekiranya dikehendaki Allah. Oleh itu, itu bermakna sesiapa juga berpeluang untuk berjaya kerana kejayaan tidak terletak pada keturunan, bangsa, agama dan juga kedudukan sosial dalam masyarakat. Sedarlah bahawa ketekunan kita merupakan antara sebab sesetengah individu mencapai kejayaan dan keadaan sebaliknya kepada sebahagian individu yang lain. Tiada sesiapa dilahirkan dengan genetik kekalahan dalam hidup. Peringatan ini terletak kepada diriku dan juga kepada sahabatku yang membaca kerana kejayaan diberikan kepada orang yang berusaha.
No comments:
Post a Comment