Salam my Dear Karipapanas.
Tarikh: 8 September 2011
Hari: Thursday
Waktu: 12.56 am
Coretan 10
Aku tidak tahu bagaimana mahu menulis kisah ini mahupun memulakannya. Kisah ini agak sukar untuk aku ceritakan dalam bentuk penulisan but my lil sister said, 'just write and everything will come to you'. Kisah yang ingin aku kongsikan bersama kalian ini adalah kisah benar yang begitu menyayat hati sesiapa yang mendengarnya. Barangkali ada di antara kalian yang sudah mendengarnya tetapi aku masih mahu berkongsi. Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Dato' Tuan Guru Ibrahim, seorang ulama terkenal pada kuliah agama ramadhan yang lepas. Kisahnya seperti ini.....
'Sepasang suami isteri yang berusia awal 30-an duduk berjiran dengan seorang anak muda laki-laki yang berusia dalam lingkungan 20-an. Pasangan suami isteri ini merasa hairan perihal jiran mereka kerana tatkala azan maghrib berkumandang setiap hari, pastinya mereka terdengar tangisan jiran mereka yang merintih kuat. Hari demi hari, perasaan tidak tenteram mereka semakin menebal. Perasaan mereka bercampur baur di antara takut, ingin tahu, serabut dan bermacam lagi.
Mereka kemudian memutuskan untuk berjumpa Ustaz Dato' Tuan untuk menceritakan masalah yang dihadapi mereka. Ustaz Dato' Tuan menasihatkan mereka agar membawa beliau berjumpa sendiri dengan anak muda itu. Saat Ustaz bersemuka dengan anak muda itu, maka mulalah anak muda itu menceritakan akan masalahnya kepada Ustaz. Sambil menangis, anak muda itu berkata bahawa dia telah banyak melakukan dosa terhadap ibunya semasa hayatnya. Anak muda itu mengaku kepada Ustaz bahwa dia adalah seorang yang jahil perihal agama. Dia adalah Islam pada nama, bukan pada hati. Arak, daging babi, habis ditelannya. Apa sahaja yang haram adalah halal baginya. Anak muda itu memberitahu Ustaz, pada ramadhan terakhir ibunya, ibunya telah tinggal bersamanya. Oleh kerana dia tidak berpuasa, maka dia tidak mempedulikan perihal juadah berbuka. Ibunya pula sering menyuruhnya membeli juadah berbuka puasa. Kerana geram akan suruhan ibunya, anak muda itu mengaku bahwa dia selalu membelikan daging khinzir untuk dimasak ibunya sebagai juadah berbuka. Dia juga pernah membelikan daging ular dan mengatakan kepada ibunya bahwa itu adalah ekor lembu dan menyuruh ibunya memasak sup ekor.
Apabila ibunya meninggal dunia, dia berasa berdosa yang amat sangat lalu bertaubat meminta keampunan kepada Allah S.W.T. Tetapi dia tidak pernah merasa tenteram dan sering kali menangis pabila tiba waktu maghrib kerana teringat akan perlakuannya yang sering kali membelikan makanan haram untuk juadah berbuka ibunya yang membuatkan ibunya berdosa setiap kali menjamah makanan itu. Usai mendengar kisah anak muda itu, Ustaz Dato' Tuan menasihatkannya agar mencari kawan si ibu yang masih hidup dan buatlah amal kebajikan kepada kawan si ibu itu kerna setiap kali kawan itu menceritakan perihal kebaikan anak muda itu kepada sesiapa sahaja, pahala itu akan pergi kepada si ibu.'
Di dalam surah An-Nisa' sering kali diulang ayat yang menegah kita dari menderhaka kepada kedua ibu bapa kita. Sheikh 'Adl, imam terawikh dari Mesir di masjid ku berkata, 'jika kita mahukan kebahagiaan di dunia, kembalilah kepada Al-Quran. Jika kita mahukan kebahagiaan di akhirat, kembalilah kepada Al-Quran. Dan jika kita mahukan kedua-duanya, Al-Quran jugalah tempat kita kembali.' Untuk mendapatkan kenteraman dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, kita harus beramal dengan Al-Quran. Al-Quran secara terang menegah kita dari menderhaka kepada kedua ibu bapa kita, meninggikan suara kepada mereka, bercakap kasar, menggunakan perkataan cis, ah, menipu, etc dan besar dosa seseorang itu apabila dia menderhaka kepada orang tuanya. Berbuat baiklah kepada mereka selagi mereka masih hidup, jangan disesali apabila mereka sudah pergi. Peringatan ini kutujukan kepada diriku sendiri yang acap kali melukakan hati orang tuaku secara langsung mahupun tidak langsung.
* 'Ya Allah, Engkau kasihanilah kedua orang tuaku seperti mana mereka kasihani aku sewaktu membesarkan aku. Tempatkanlah mereka di syurga-Mu bersama orang-orang soleh.'
Amin.
No comments:
Post a Comment